Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA solat jemaah BERJAYA MENCAPAI 320 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH BUKHARI SAHIH MUSLIM SUNAN AT-TERMIZI

181  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0427.
Dari Anas r.a., katanya: "Aku tidak pernah solat di belakang sesearang yang solatnya lebih ringkas dari solat Rasulullah saw. tetapi amat sempurna. Solat Rasulullah itu hampir sama saja panjangnya satu sama lain, begitu pula solat Abu Bakar. Tetapi 'Umar bin Khaththab lebih panjang solatnya ketika dia solat Subuh. Padahal bila Rasulullah saw. sudah membaca "Sami'allahu liman hamidah" beliau berdiri sehingga kami mengira beliau ragu. Kemudian beliau sujud, duduk antara doa sujud, sehingga kami mengira beliau ragu."

182  
Hadis Sunan At-Termizi Jilid 1. Hadis Nombor 0418.
Muhammad bin Amr As Sawwaq menceritakan kepada kami Abdul Aziz bin Muhammad memberitahukan kepada kamu dari Sa'ad bin Said dari Muhammad bin Ibrahim dari datuk lelakinya Qais, ia berkata: "Rasulullah saw keluar dan lalu dikumandangkan lah solat, maka saya solat bersama beliau solat Subuh, kemudian Nabi saw pulang, dan Nabi saw bersabda: "Tunggu hai Qais apakah kamu melaksanakan dua solat (Fardu dan sunat) dengan bersamaan?" Saya menjawab: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya belum mengerjakan solat sunat Subuh dua rakaat." Maka Nabi saw bersabda: "Jikalau begitu, tidak mengapa kamu mengerjakan". Abu Isa berkata: "Saya tidak mengetahui hadis Muhammad bin Ibrahim seperti ini, kecuali dari hadis Sa'ad bin Said. Sofyan bin Uyainah berkata: "Atha' bin Abu Rabah telah mendengar dari Sa'ad bin Said hadis seperti ini, hanya saja hadis itu diriwayatkan secara mursal". Kaum ahli Mekah berkata: "Tidak apalah seseorang solat dua rakaat sunat sesudah solat Subuh sebelum terbitnya matahari." Abu Isa berkata: "Sa'ad bin Said dia adalah saudara Yahya bin Sa'id Al Anshari, dan Qais dia adalah datuk lelaki Yahya bin Sa'id, terkadang dipanggil juga Qais bin Qahd. Dan sanad hadis ini tidak muttasil, Muhammad bin Ibrahim At Taimi dia tidak mendengar dari Qais. Sebahagian perawi telah meriwayatkan hadis ini dari Sa'ad bin Sa'id dari Muhammad bin Ibrahim: "Bahawasanya Nabi saw keluar dan beliau melihat Qais."

183  
Hadis Sunan At-Termizi Jilid 1. Hadis Nombor 0550.
Muhammad bin 'Ubaid Al-Muharibi menceritakan kepada kami, 'Ali bin Hasyim memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Ibnu 'Umar dimana dia berkata: "Saya mengerjakan solat bersama dengan Nabi s.a.w. baik sewaktu berada di rumah maupun dalam perjalanan. Saya mengerjakan solat zuhur empat rakaat dan dua rakaat sesudahnya bersama beliau sewaktu berada di rumah; dan saya mengerjakan solat zuhur dua rakaat dan dua rakaat sesudahnya bersama beliau sewaktu berada dalam perjalanan, dan mengerjakan solat asar dua rakaat dan tidak solat sunat sesudah itu. Sedangkan solat Maghrib baik di rumah maupun dalam perjalanan sama saja, tiga rakaat. Beliau tidak menguranginya baik sewaktu berada di rumah maupun dalam perjalanan. Solat Maghrib itu merupakan witirnya siang, dan (beliau mengerjakan) dua rakaat setelah itu." Abu 'Isa berkata: "Hadis ini adalah hadis hasan. Saya mendengar Muhammad berkata: "Ibnu Abi Laila tidak - meriwayatkan sesuatu hadis yang lebih menghairankan kepadaku melebihi daripada hadis ini."

184  
Hadis Sunan At-Termizi Jilid 1. Hadis Nombor 0561.
Muhammad bin 'Abdul Malik bin Abu Syawarib menceritakan kepada kami, Yazid bin Zurai' memberitahukan kepada karni, Ma'mar menceritakan kepada kami (yang berasal) dari Az-Zuhri dari Salim dari ayahnya "bahawasanya Nabi s.a.w. mengerjakan solat khauf satu rakaat dengan salah satu dari kedua pasukan, sementara pasukan yang lain berjaga mengawasi musuh; kemudian mereka (pasukan yang tadinya solat) bangkit dan menempati tempat pasukan yang berjaga. Pasukan yang tadinya berjaga itu solat bersama-sama dengan Nabi s.a.w. pada rakaat yang kedua, kemudian beliau mengucapkan salam sewaktu mengimami mereka, kemudian mereka bangkit dan menyelesaikan rakaat berikutnya. Dan pasukan yang pertama itu juga menyelesaikan rakaat berikutnya".Masalah yang sama diriwayatkan pula dari Jabir, Hudzaifah, Zaid bin Tsabit, Ibnu 'Abbas, Abu Hurairah, Ibnu Mas'ud, Sahl bin Abu , Hatsmah, Abu 'Ayyasy Az-Zuraqi yang nama aslinya Zaid bin Shamitdan Abu Bakrah. Abu 'Isa berkata: "Malik bin Anas berpegang pada hadis Sahl bin Abu Hatsmah dalam masalah solat Khauf ini". Demikian pula pendapat Asy-Syafi'i. Ahmad berkata: "Mengenai solat khauf ini banyak hadis yang di-riwayatkan dari Nabi Muhammad s.a.w.; dan saya tidak mengetahui dalam masalah ini kecuali hadis yang sahih saja, dan saya memilih hadis Sahl bin Abu Hatsmah. Demikian pula Ishaq bin Ibrahim mengatakan bahawa banyak riwayat dari Nabi s.a.w. mengenai solat khauf ini, dan ia berpendapat bahawa semua hadis yang diriwayatkan dari Nabi s.a.w. tentang solat khauf ini adalah dapat diterima, dan ini sesuai dengan tingkatan khauf; (rasa takut) itu sendiri. Ishaq berkata: "Kami tidak memilih hadis Sahl bin Abu Hatsmah atas riwayat-riwayat yang lain. hadis Ibnu 'Umar adalah hadis hasan sahih. Hal yang serupa diriwayatkan pula oleh Musa bin 'Uqbah dari Nafi' dari Ibnu 'Umar dari Nabi s.a.w.

185  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0242.
Abdullah bin Mas'ud r.a. mengatakan, "Nabi saw. solat. Kata Ibrahim , yang meriwayatkan hadis ini. saya tidak tahu, entah solat Nabi lebih atau kurang dari semestinya. Ketika Nabi telah selesai solat, seseorang bertanya kepada beliau, "Ya, Rasulullah! Apakah ada suatu perubahan dalam solat?" Jawab Nabi saw., "Ada apa gerangan?" Kata para sahabat, "Anda solat sebegitu banyaknya." Lalu Nabi bersimpuh menghadap ke kiblat, dan beliau sujud dua kali, sesudah itu memberi salam. Setelah Nabi bertatap muka dengan kami, beliau bersabda: "Sesunguhnya, kalau terjadi suatu perubahan dalam solat ku, nescaya aku beri khabar kepada anda sekalian. Aku ini manusia seperti anda juga. Aku bisa lupa sebagaimana anda juga pernah lupa. Sebab itu, kalau aku lupa maka ingatkanlah kepada ku. Apabila seseorang kamu ragu tentang bilangan rakaat solatnya, ambillah yang sedikit dan cukupkanlah bilangannya. Kemudian memberi salam dan sesudah itu sujud dua kali."

186  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0661.
Dari Ibnu Umar r.a. katanya: "Ketika Abdullah bin Ubay meninggal, puteranya datang kepada Nabi saw., katanya: "Ya, Rasulullah! Berikanlah baju Tuan kepada saya untuk kapan bapa saya, dan semoga Tuan berkenan melakukan solat serta memohonkan ampun untuknya." Nabi saw. memberikan bajunya sambil bersabda: "Beritahulah aku jika dia telah siap untuk disolatkan." Setelah siap, maka puteranya memberitahukan kepada Nabi saw. Maka tatkala Nabi saw. hendak melakukan solat atasnya, Umar menariknya dan berkata: "Bukankah Allah telah melarang Tuan untuk melakukan solat atas orang munafik?" Jawab Nabi saw., "Aku boleh memilih." Firman Allah swt. " Engkau mohonkan ampunan untuk mereka atau pun engkau tidak mohonkan, walaupun engkau mohonkan ampunan untuk mereka tujuh puluh kali, sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni mereka." kerana itu, Nabi saw terus melakukan solat atas tokoh munafik itu. Sesudah itu maka turunlah ayat: "Dan janganlah sekali-kali kamu solatkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka untuk selama-lamanya."

187  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0407.
Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah saw. solat malam di biliknya, padahal dinding bilik itu pendek, sehingga orang banyak dapat melihat Nabi saw. kerana itu mereka solat pula seperti Nabi. Setelah hari pagi, mereka mempercakapkan hal itu. Malam kedua Nabi solat pula. Orang banyak pun solat pula seperti beliau. Mereka lakukan hal seperti itu dua atau tiga malam, dan sesudah itu beliau solat sambil duduk dan tidak keluar. Ketika hari telah subuh, orang banyak menanyakan hal itu kepada beliau. Jawab beliau, " Aku takut, kalau kalau kamu mengira solat malam itu wajib."

188  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0640.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. kembali dari perang Khaibar, beliau berjalan tengah malam, sehingga beliau mengantuk, lalu beliau berhenti dan rehat untuk tidur. Beliau bersabda kepada Bilal, "Bangunkan kami bila waktu Subuh tiba." Sementara itu Bilal solat seberapa dapat dilakukannya, sedangkan Nabi saw. dan sahabat-sahabat yang lain tidur. Ketika fajar hampir terbit, Bilal bersandar ke kenderaannya menunggu fajar terbit. Tetapi dia sangat mengantuk dan tertidur ketika sedang bersandar itu, sehingga dia tidak dapat membangunkan Rasulullah saw. dan para sahabat yang lain, sampai sinar matahari mengenai mereka. Yang mula-mula terbangun ialah Rasulullah saw. Ketika beliau terbangun, beliau bertanya, "Mana Bilal?" Jawab Bilal, "Demi Allah! Aku tertidur, ya Rasulullah." Sabda Rasulullah saw., "Bersiaplah semua!" Lalu mereka siapkan kenderaan mereka. Kemudian Rasulullah saw. mengambil wuduk dan menyuruh Bilal qamat. Setelah Bilal qamat, Nabi saw. mengimami mereka solat Subuh. Setelah selesai solat, beliau bersabda: "Siapa yang lupa solat, maka hendaklah dia solat apabila ingat. Sesunguhnya Allah berfirman: "Tegakkanlah solat untuk mengingat-Ku."

189  
Hadis Sunan At-Termizi Jilid 1. Hadis Nombor 0417.
Ahmad bin Manie' menceritakan kepada kami, Rauh bin Ubaadah memberitahukan kepada kami, Zakaria bin Ishaq memberitahukan kepada kami, Amr bin Dinar memberitahukan kepada kami, ia berkata: "Saya mendengar Atha' bin Yasar ia dari Abu Hurairah berkata: "Rasulullah saw bersabda: "Ketika telah dilaksanakan solat, maka tidak ada solat sunat kecuali solat fardhu (Subuh). "Di dalam bab ini terdapat hadis dari Ibnu Buhainah, Abdullah bin Amr, Abdullah bin Sarjis, Ibnu Abbas dan Anas. Abu Isa berkata: "Hadis Abu Hurairah adalah hadis hasan, seperti inilah Ayyub dan Warqa' bin Umar, Ziad bin Sa'ad, Ismail bin Muslim, Muhammad bin Hujadah meriwayatkan hadis ini dari Amr bin Dinar dari Atha' bin Yasar dari Abu Hurairah dari Nabi saw. Hammad bin Zaid dan Sofyan bin Uyainah telah meriwayatkan hadis ini juga dari Amr bin Dinar, mereka tidak merafa'kan hadis ini, hadis marfu' menurut saya lebih ashah. Hadis ini telah diriwayatkan juga dari Abu Hurairah dari Nabi saw dari beberapa sanad, yang meriwayatkan adalah Ayyas bin Abbas Al Qithbani Al Mishri dari Abu Salamah dari Abu Hurairah dari Nabi saw. Melaksanakan hadis ini menurut ahli ilmu dari sahabat-sahabat Nabi saw dan yang lainnya, mereka berkata: "Ketika telah dilaksanakan solat (dikumandangkan iqamat) seseorang tidak boleh solat kecuali solat fardu, dengan hadis inilah Sofyan As Tsauri, Ibnu Mubarak, Syafi'i, Ahmad dan Ishaq sependapat."

190  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0134.
Dari Anas bin Malik r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Jibril membawakan kepada ku seekor Buraq', iaitu sejenis haiwan berwarna putih, lebih panjang dari keldai dan lebih pendek daripada baghal. Ia dapat melompat sejauh mata memandang. Haiwan itu lalu ku tunggangi sampai ke Baitul Makdis. Sampai di sana haiwan itu ku tambatkan di tambatan yang biasa digunakan para Nabi. Kemudian aku masuk ke dalam masjid dan solat di situ dua rakaat. Setelah aku keluar, Jibril datang membawa dua buah bejana, yang satu berisi khamar dan yang satu lagi berisi susu. Aku memilih susu. Kata Jibril, "Dan Kami naikkan dia (Idris) ke tempat yang tinggi" (Maryam : 57). Kemudian kami naik ke langit kelima. Jibril a.s. minta dibukakan pintu. Dia ditanya, "Siapa Anda?" Jawab, "Aku Jibril." Tanya: "Siapa bersama Anda?" Jawab: "Muhammad saw." Tanya: "Apakah dia sudah diutus?" Jawab: "Ya, dia sudah diutus." Setelah itu pintu dibukakan untuk kami. Sekonyong-konyong aku bertemu dengan Harun a.s. Dia mengucapkan selamat datang kepada ku dan mendoakan semoga aku mendapat kebaikan. Kemudian kami naik ke langit ke enam. Lalu Jibril minta dibukakan pintu. Dia ditanya, "Siapakah Anda?" Jawab: "Aku Jibril." Tanya: "Siapa bersama Anda?" Jawab: "Muhammad." Tanya: "Apakah dia sudah diutus?" Jawab: "Ya, dia sudah diutus." Sesudah itu barulah pintu dibukakan untuk kami. Sekonyong-konyong aku bertemu dengan Musa a.s. Dia mengucapkan selamat datang kepada ku dan mendoakan semoga aku mendapat kebaikan. Kemudian kami naik ke langit ketujuh. Jibril minta dibukakan pintu. Dia ditanya, "Siapa Anda?" Jawab: "Aku Jibril." Tanya: "Siapa bersama Anda?" Jawab: "Muhammad saw." Tanya: "Apakah dia sudah diutus?" Jawab: "Ya, dia sudah diutus." Sesudah itu, lalu pintu dibuka untuk kami. Tiba-tiba aku bertemu dengan Ibrahim a.s. sedang bersandar ke Baitul Ma'mur, di mana 70,000 malaikat setiap hari masuk ke dalamnya dan mereka tidak pernah kembali lagi dari situ. Kemudian Jibril membawa ku ke Sidratul Muntaha, mendapatkan sebatang pohon yang daunnya seperti telinga gajah, dan buahnya sebesar kendi. Setiap kali ia tertutup dengan kehendak Allah, ia berubah sehingga tidak satu pun makhluk Allah yang sanggup mengungkapkan keindahannya. Lalu Allah menurunkan wahyu kepada ku, mewajibkan solat 50 kali sehari semalam. Sesudah itu aku turun ke tempat Musa a.s. Musa bertanya, "Apa yang telah diwajibkan Tuhan mu kepada umatmu?" Jawab ku, "Solat 50 kali." Kata Musa, "Kembalilah kepada Tuhan mu, mintalah keringanan, kerana umatmu tidak akan sanggup melakukannya. Aku sendiri telah mencuba terhadap Bani Israil." Kata Nabi saw., "Aku kembali kepada Tuhan ku, lalu aku memohon, Ya Tuhan! Berilah umat ku keringanan!' Maka Allah menguranginya lima." Sesudah itu aku kembali kepada Musa. Kataku, "Allah menguranginya lima." Kata Musa, "Umatmu tidak akan sanggup menunaikannya sebanyak itu. Kerana itu kembalilah kepada Tuhan mu dan mintalah keringanan." Kata' Nabi saw. selanjutnya, "Aku jadi berulang-ulang pulang pergi antara Tuhan ku Tabaraka wa Ta'ala dengan Musa, sehingga akhirnya Allah berfirman: "Kesimpulannya ialah solat lima kali sehari semalam. Bagi tiap-tiap satu kali solat, sama nilainya dengan sepuluh solat; maka jumlah nilainya 50 juga. Dan siapa bermaksud hendak berbuat kebajikan, tetapi tidak dilaksanakannya, dituliskan untuknya (pahala) satu kebajikan. Apabila dilaksanakannya, ditulis baginya (pahala) sepuluh kebajikan. Dan siapa bermaksud hendak berbuat kejahatan, tetapi tidak jadi dilaksanakannya, tidak akan ditulis apa-apa baginya. Tetapi jika dilaksanakannya, maka ditulis baginya balasan satu kejahatan. Sesudah itu aku turun kembali ke tempat Musa a.s., lalu ku ceritakan kepadanya apa yang difirmankan Tuhan ku itu. Kata Musa, "Kembalilah kepada Tuhan mu, dan mintalah keringanan." Jawab Rasulullah saw., "Aku telah berulang kali kembali kepada Tuhan ku meminta keringanan, sehingga aku malu kepadaNya.